Friday, January 22, 2010

tolong kami bantu mereka...



TOLONG KAMI BANTU MEREKA
Sumber: Berita Harian

Ni kisah satu family susah yg kitorang jumpa ketika xpdc ke Mat Daling...bacalah..n kalau rasa nak tolong..Alhamdulillah..amat dialu-alukan

ALICE tidak mampu lagi menahan tangis. Air matanya bercucuran laju sekali pun cuba menyembunyikannya. Bukan Alice seorang, sesiapa saja yang ada di situ ketika itu, terdiam, menelan air liur, menahan sebak di dada.
“Saya tak pernah makan buah ini. Sedap!” Aduhhh...Sudah tujuh tahun hidup di muka bumi, buah yang tidak pernah dimakan Helmi atau nama penuhnya, Mohamad Zulhelmi, hanyalah anggur, bukannya buah-buahan yang pelik bagi kebanyakan kita.


*HELMI

Bulat matanya merenung anggur itu, laju tangannya memetiknya dari tangkai, laju menyuapkannya ke dalam mulut dan asyik sekali mengunyah, menelan, menikmati kelazatannya.
Namun, itulah hakikatnya. Hakikat yang terpaksa dialami Helmi dan kenyataan yang terpaksa kami terima, akur, betapa keperitan hidup membataskan Helmi merasai kenikmatan hidup.
Tidak pernah terlintas di fikiran penulis untuk menyaksikan sendiri kedaifan sebegitu, lebih-lebih tatkala kerajaan lantang menggembar-gemburkan kejayaan menangani masalah kemiskinan masyarakat, usaha dan peruntukan besar yang sudah dicurah ke arah membasmi kemiskinan.
Hidup bersama ibu, Faridah Mohamad dan lapan adik-beradik nun jauh di Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling, Pahang, Helmi membesar dalam serba kekurangan.
Melihatkan kediamannya, ia sudah cukup untuk menceritakan kepayahan dialami Helmi sekeluarga. Pondok usang, yang menjadi tempat berlindung keluarga malang ini, memang tidak layak dipanggil rumah. Dinding dan lantai papan berlubang di sana sini, reput, seolah-olah menunggu masa untuk menyembah bumi.


* PONDOK USANG KELUARGA FARIDAH

Pondok yang dibina menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu sudah tidak berpintu, tidak bertangga. Tiada ruang bilik tidur, ruang dapur pun hanya seluas kira-kira dua
depa, malah dapur pun hanya dapur kayu.
* DAPUR
Tiada perabot, katil, hanya satu tilam usang, tiada almari pakaian, apatah lagi peralatan elektrik seperti televisyen juga radio. Kegelapan malam diterangi satu-satunya mentol dan tandas di luar rumah, tidak berbumbung, tidak berpintu, hanya berdindingkan zink yang berlubang di sana sini.





* TANDAS/BILIK AIR YANG DIGUNAKAN FARIDAH SEKELUARGA


“Beginilah kehidupan kami sekeluarga. Hendak menerima tetamu pun malu,” kata Faridah, kala menjemput penulis dan warga Middle Earth, syarikat yang menyediakan pakej off road pacuan empat roda (4x4) dan percutian dalam hutan hujan tropika, berpusat di Jerantut, Pahang, termasuk Alice.
Namun, Pengarah Urusan Middle Earth, Marodzuan Abd Ghani, berpesan: “Jangan naik ramai-ramai.” Memang berpatutan pesanannya. Pondok usang itu seolah-olah ‘menjerit’ sebaik saja kami menjejakkan kaki ke dalam kediaman Faridah sekeluarga.
Wajah Faridah sugul, lesu, jelas memancarkan keperitan hidup yang dilalui membesarkan sembilan anak, lebih-lebih lagi tanpa suami di sisi sejak kira-kira tiga tahun lalu. Fizikalnya, fizikal anak-anaknya berusia antara dua tahun dan 22 tahun, sudah cukup untuk menceritakan kepada penulis malah sesiapa saja melihat mereka, keluarga ini hidup dalam kedaifan, tidak cukup makan, jauh sekali makanan berkhasiat.



* FARIDAH (tengah) DAN DUA ANAKNYA

“Kami hanya mampu makan nasi sekali dalam sehari, pada waktu tengah hari. Kalau ada lebih, bolehlah dimakan pada waktu malam,” kata Faridah. Lauk utama, kata Faridah, gulai rom, gulai biji getah. Biji getah?
“Sedap kak,” sampuk Norazuwa, anak sulung Faridah berusia 22 tahun. “Rebus dulu biji getah tu, lepas tu boleh masak apa-apa pun, gulai, sambal,” sambungnya. Tak pernah terlintas di benak penulis, biji getah menjadi santapan utama tetapi itulah juadah harian Faridah anak-beranak. Jika ada duit lebih atau jiran menghulurkan lauk-pauk, merasalah Faridah dan anak-anak lauk lain.


* NORAZUWA


“Sedap ke?” saja soalan itu penulis ajukan pada Helmi dan Nor Asma, 9. Helmi mengangguk dan Nor Asma, sambil senyum mengiyakan, tanpa ragu-ragu. “Mana lagi sedap, rom ke ayam?” usik penulis. Hilang senyum Nor Asma seketika. Dengan wajah sayu dan nada perlahan, dia menjawab, mestilah ayam.

* NOR ASMA

Namun, agak mustahil untuk Faridah menyediakan juadah lazat buat anak-anak. Dengan pendapatan hasil menoreh getah di kebun orang hanya kira-kira RM100 hingga RM150 sebulan (jika bukan musim hujan), mampu menyediakan makanan ala kadar buat mengalas perut, sudah jauh daripada memadai.
Dengan pendapatan tidak seberapa itu dan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, perbelanjaan harus berpada-pada. Mujur anak yang bersekolah, Mohamad Faizal, 12; Mohamad Azahum, 10; Nor Asma dan Helmi menerima bantuan persekolahan sebanyak RM150 seorang setiap bulan, tetapi bayangkanlah, untuk ke sekolah, yuran harus dibayar, bulu latihan harus dibeli, pakaian sekolah, baju sekolah, belum lagi mengambil kira tambang bot pergi balik ke sekolah sebanyak RM40 seorang!


* BEG SEKOLAH

Kerana itu, anak-anak Faridah hanya bersekolah setakat Tahun Enam. “Saya tidak mampu,” kata Faridah, yang kelihatan lebih tua dari usianya 39 tahun.
Tidakkah Faridah mahu melihat anak-anaknya bersekolah lebih tinggi, dengan harapan dapat mengubah hidup keluarga satu hari nanti, Faridah terdiam seketika bila ditanya begitu. Air mukanya bertambah keruh dan matanya bergenang. “Memanglah,” jawabnya perlahan.
“Memang hasrat hendak melihat anak-anak terus belajar, tapi saya tak ada kudrat. Tapi itu harapan saya, dapat bantuan supaya anak-anak boleh terus belajar,” katanya.
Itu harapan penulis dan semua warga Middle Earth juga. Anak-anak Faridah bijak. Helmi mendapat tempat ketiga dalam peperiksaan akhir tahun dan Nor Asma, yang kelihatan, lebih yakin apabila berbual, sentiasa mendapat antara tiga tempat teratas di kelas.
Malah, Helmi ketika dinasihatkan supaya terus bersekolah, masuk universiti dan jadi doktor kelak, mengangguk bersungguh-sungguh, seolah-olah memang memendam hasrat bergelar doktor suatu hari nanti.
Ini tidak mustahil jika anak-anak ini mendapat bantuan sewajarnya. Pembaca yang berhasrat mengubah nasib anak-anak ini, meringankan beban Faridah sekeluarga, menghulurkan sebarang bentuk bantuan, boleh berbuat demikian dengan menghubungi Middle Earth di talian 012-9819145 atau 09-2669618 atau e-mel matdu.ninety@yahoo.com.
Sebelum meninggalkan Faridah dan anak-anaknya ketika waktu hampir senja hari itu, penulis bertanya pada Helmi: “Malam ni Helmi nak makan apa?” “Telur!” jawabnya penuh semangat sambil menggenggam kedua-dua tangannya, seolah-olah itulah lauk paling lazat. Sekali lagi, kami semua menjadi sebak...

1 comment:

Naz said...

kak sal, sedih nya.. berat mata memandang, berat lagi bahu memikul kan..